Seperti yang kita sedia maklum kepentingan Air di dalam badan seorang manusia . Di mana lebih 70% badan manusia adalah dari Air. Air memainkan peranan yang amat penting dari segala segi seperti pengawalan suhu badan, mengawalselia sistem pertahanan badan (immune) dan pengangkutan nutrient serta toxin.
Berani saya katakan hampir semua orang tahu akan kepentingan air ini, namun apa yang saya ingin perkatakan di sini adalah kepentingan pengambilan air yang cukup dari segi kesihatan bagi mencapai tahap kecerdasan yang optimum.
Dengan keadaan bumi di zaman industri yang pesat membangun ini, telah tercemar dari segala segi mengakibatkan kualiti alam sekitar telah menjadi mangsa dan tergadai. Pencemaran Air menjadi amat serius, di mana sumber pembekalan air bersih seperti sungai dan air mata air sudah semakin berkurangan dan hampir kesemua sungai di Negara ini di kategorikan sebagai sungai ‘Mati’
Apakah maksud nya kategori ini ; ‘sungai Mati’?
Sungai ‘mati’ (bukan Sungai Mati, Muar) adalah bermaksud sungai yang mengandungi kandungan oksigen yang amat rendah dan mengakibatkan tiada hidupan dapat hidup di dalamnya. Malah kandungan toksik di dalamnya juga amat tinggi sehingga membahayakan hidupan air dan juga manusia yang menggunakannya. Penggunaan racun serangga di dalam industri pertanian komersil dan aktiviti-aktiviti harian manusia terus meracun dan membunuh sungai kita yang semakin tenat ini.
Air dari sungai –sungai inilah yang digunakan untuk membekalkan air bersih kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagaimanakah air yang kekuningan dan bertoksik ini menjadi begitu jernih dan ‘bersih’ apabila keluar dari paip di rumah kita? Bagaimanakah bekalan air ‘bersih’ ini dibersihkan?
Air dari sungai-sungai yang masih dikategorikan ‘bersih’ disalurkan ke Loji penapisan yang sedia ada. Di loji-loji inilah, air dari sungai ini akan melalui beberapa proses ‘pembersihan’ di mana pelbagai bahan kimia ditambah agar air tidak keruh, tidak berbau dan secara zahirnya tampak ‘selamat’ diminum.
Proses pembekalan air bersih bermula dengan pengumpulan air dari sumber sungai-sungai berdekatan, kemudian proses ‘pembersihan’ dengan menggunakan tawas (aluminium sulphate), dimana kekotoran akan termendap, dan bakteria-bakteria akan terperangkap serta menghilangkan bau. Selepas itu penapisan menggunakan pasir-pasir halus (rapid gravity sand filter) untuk menjernihkan air dan membuang enapan yang terhasil. Untuk menghapuskan mikroorganisma, klorin dicampur kedalam air. Kemudian penyesuaian pH dilakukan agar air berada di dalam pH yang sesuai , jika pH rendah (air berasid) maka ia akan menghakis paip dan menyebabkan keracunan logam. Dan sekiranya pH tinggi (air beralkali) maka enapan bahan kimia berlaku. Oleh yang demikian pH dikawal pada had 7.2 (neutral). Fluorida ditambah untuk menguatkan gigi dan menjernihkan lagi air supaya kelihatan selamat di minum.